Tuesday, July 26, 2011

Sesuatu yang kita lupa...

Dengan nama Allah yang sentiasa Melihat dan sentiasa Mengetahui segala-galanya...

Gumpalan awan yang tadinya di utara, kini sudah beralih ke selatan dibawa oleh sang bayu. Alam terus berputar, siang dan malam silih berganti. Semuanya mengikut aturan yang telah ditetapkan. Segalanya berjalan mengikut kehendak Yang Maha kuasa. Tidak ada yang mendahului, tidak juga didahului. Tidak dipercepatkan, tidak juga dilambatkan.

Berbicara mengenai takdir, teringat pelajaran Pendidikan Islam ketika di tingkatan tiga dahulu. Diulang-ulang, dihafal-hafal..."Rukun Iman ada enam... yang terakhir sekali..."percaya kepada Qada' dan Qadar". Itu aku dan kamu pun tahu. Tapi, apalah yang difahami oleh seorang pelajar yang hanya mengetahui untuk lulus peperiksaan semata-mata. Benarlah, mengetahui sahaja tidak cukup untuk benar-benar memahami...apatah lagi untuk merasai segalanya berlaku atas kehendak dan kekuasaan Yang Maha Esa.

Kita tahu, setiap yang berlaku semuanya sudah diaturkan. Namun, sebagai seorang insan yang sifatnya pelupa...kita terlupa, setiap yang berlaku kepada kita sebenarnya berlaku kerana Allah yang mentakdirkan ianya berlaku. Segalanya sudah ditetapkan. Sejak azali lagi kita telah ditetapkan dengan 4 perkara, ajal kita, jodoh kita, rezeki kita dan amalan kita...

Bercakap mengenai perjalanan kehidupan ini, aku berpegang pada satu perkara. "Segalanya sudah diaturkan Allah s.w.t..."

Berkata seseorang kepadaku, "Walaupun jalan cerita kita itu tidaklah cantik, kerana penuh dengan dosa, tetapi susunan agendanya sangat menarik."

Kerana apa?Kerana Allah Maha Tahu, apa yang kita perlukan untuk memeruskan kehidupan kita. Dan Dia tahu apa yang terbaik untuk kita.”

Ya. Di sepanjang cerita kehidupanku, Allah memperkenalkan aku dengan pelbagai jenis manusia. Pelbagai jenis bermakna mereka punyai seribu satu macam ragam. Dari pertemuan itu, aku mengakui satu hakikat, "kita boleh mencintai dan menyayangi sesiapa sahaja, tapi itu bukan jaminan untuk kita bersama dengan mereka selamanya...". Aku juga menyedari bahawa, dalam setiap pertemuan itu, di hujungnya kita pasti akan bertemu dengan sebuah takdir yang namanya "perpisahan". Tidak kiralah perpisahan itu yang sifatnya sementara atau yang selamanya...

Apa yang pasti...

"Hanya Allah yang kekal..."

Menelan kepahitan sebuah hakikat, menampalnya dengan sebuah keredhaan. Hati berkata, "Ya Allah, redhakanlah hatiku atas segala ketentuanMu.."

No comments: