Saturday, February 19, 2011

Tinggal Kenangan: Maulidur rasul

Dengan Nama Allah yang maha mendengar lagi maha mengetahui..
Ya Allah, tetapkanlah hati kami. Berikanlah kami ilmu yang bermanfaat. Amin.


Salam dan Selawat ke atas Nabi Junjungan...Dalam mengenang hari kelahiran baginda. Perarakan Maulidurasul..
Tahun kedua meraikannya di keningau. (Gambar-gambar)Di tempat yang sama, waktu yang lebih kurang, menaiki bas yang sama, melalui laluan yang sama...tapi perasaan itu berbeza.

Tahun lalu, bersama dengan kakak2 KPLI PAI, tapi kali ini bersama dengan kakak2 KPLI JQAF. Kehadiran adik-adik junior, mencambahkan perasaan kasih. Semoga mereka akan terus tetap berada di jalan ini.Walaupun ada perbezaan, tapi ada yang sama...sahabat2 seperjuangan masih ada lagi. Inilah yang menimbulkan kesayuan di hati. Ketika menatap wajah-wajah mereka, seakan-akan ingin kurakamkan dan kusematkan di hati. Saat ini pasti akan dirindui suatu hari kelak. Di kala masing-masing sudah membawa diri. Itu semua adalah pasti. Tidak ada yang kekal di dunia ini. Apa yang tinggal kelak hanyalah sebuah kenangan. Dan, ingin kuabadikan kenangan-kenangan itu di dalam bait kata-kata agar boleh kuselak untuk diimbau kembali kelak. Di saat badan sudah lemah, ingatan semakin pudar, kudrat semakin tidak berdaya, kenangan-kenangan ini akan mampu meng"hidup" dan me"muda" kan kembali jiwa.

Majlis bermula dengan penilaian sepanduk dan kain rentang. Setelah selesai, doa dibaca sebagai tanda perarakan akan bermula sebentar lagi. Di saat selawat dilaungkan, di saat kaki melangkah...hati berdetik, mudah2an apa yang dilakukan ini tidak sia-sia. Kiri dan kanan, orang ramai berkumpul, seperti melihat sesuatu yang "aneh". Namun, keadaan jalanraya yang "jam" untuk memberi laluan kepada perarakan ini, menimbulkan perasaan tidak senang beberapa orang pemandu. Semua itu, kulihat jelas di depan mataku sendiri apabila melihat seorang pemandu yang berteriak sambil me"reverse" keretanya dan mengambil jalan lain. Entah ke mana. Biasalah tu, kata temanku. Terutamanya yang "mudah hilang sabar" dan tidak bertoleransi. Aku mendiamkan diri. Berfikir...


Ketika kaki merasa letih, hati mengingatkan..apalah sangat yang dilalui ini jika nak dibandingkan dengan perjuangan orang-orang yang hendak menegakkan syiar Islam di seluruh dunia. Jika perarakan ini dilakukan dengan penuh penghayatan, pasti akan timbul rasa kasih terhadap baginda. Sepanjang perjalanan, selawat dibaca dan ianya menimbulkan ketenangan. Seakan-akan seluruh alam ikut berselawat. Laungan selawat itu menyelubungi "bandar" keningau. Agungnya cinta Rasulullah. Sehingga ke saat-saat terakhir, masih lagi merisaukan umatnya. Bayangkan sahaja, jika baginda berputus asa dalam menghadapi segala hinaan, cacian, ujian dan rintangan...mungkin sahaja kita tidak akan merasai nikmat Islam ini. Suatu nikmat yang kurasa semakin lama semakin kurang dihargai dan semakin disalah tafsirkan. Namun, janganlah menyalahkan sesiapa, berusahalah melakukan perubahan itu sekuat daya dan sepenuh hati. Janganlah asyik mencari "siapa yang salah" tapi carilah "apa yang salah". Dengan itu, barulah masalah akan selesai.

Sirah. Kuakui kebenaran pepatah, "tidak kenal,maka tidak cinta". Tanpa usaha untuk menelusuri sirah baginda, kita sendiri akan hilang pedoman dan tidak akan merasai keagungan cinta akan rasulullah, nabi junjungan ini. Hanya jauhari yang mengenal manikam. Mengapa? kerana jauhari itu ada ilmu mengenainya...Begitulah juga dengan cinta Rasulullah...Hanya dengan mengamalkan sunnah baginda, barulah kita akan merasai hubungan hati dan hati itu. Hubungan yang melangkaui batasan waktu, masa dan zaman. Sebab inilah, rasulullah teringin hendak berjumpa dengan kita (orang-orang yang menyintainya tanpa pernah melihat baginda pun)...masyaAllah...

Sabda rasulullah s.a.w,
"seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat kelak." (Mutafaq 'alaih).

(Kredit to chibby's photoghraphy-gg)

"Aku redha Allah sebagai tuhanku, Islam sebagai agamaku, dan Nabi Muhammad sebagai nabi dan rasulku.."

P/s: Sehari sebelum ini adalah perayaan Valentine's day...Apa hukumnya?Haram. Titik.

No comments: