Wednesday, November 12, 2014

Review: Asam Pedas Gula Melaka

Memang sedap baca buku ni!

"Baiklah, kalau begitu kata kamu, tanyalah apa yang kamu nak tahu daripada saya. Tetapi kamu semua kena ingat saya tidak ada sebarang keistimewaan, Saya juga seperti kamu!"

Semua pelajar yang di hadapan saya kelihatan telah bersiap sedia untuk membuat catatan.

"Puan sudah berkhidmat di sini hampir tiga tahun setengah. Dalam masa tersebut kami melihat puan terlalu gigih menjalankan tugas, berani membuat sebarang perubahan dan sentiasa dalam keadaan segar dan bertenaga apabila bekerja. Boleh kami tahu apa rahsianya?" Nadia ketua sidang redaksi memulakan pertanyaan.

Beberapa saat juga saya cuba memikirkan jawapannya agar penjelasan saya itu benar-benar dapat dijadikan iktibar oleh guru-guru dan pelajar-pelajar di sekolah saya.

"Betulkah kamu rasa saya ini gigih menjalankan tugas, banyak buat perubahan dan nampak segar selalu? Atau sengaja nak bodek saya?" saya pula mengusik mereka.

"Betul puan, saya lihat puan seperti itu. Mungkin puan boleh beri kami sedikit tipsnya?"

"Barangkali kamu semua melihat saya gigih kerana saya banyak membuat program dan aktiviti di sekolah ini. Sebenarnya sekolah ini terlalu banyak kelebihan dan kekuatannya. Baik dari segi manusia yang ada di sini mahupundari segi sekolah ini sendiri. Sayang rasanya kalau saya tidak menggunakan kesempatan itu untuk membuat sesuatu penambahbaikan. Bukan saya seorang tapi kita semua. Sebab itu kita harus bekerja kuat menggembleng tenaga dan pemikiran semua guru untuk menjadikan sekolah kita ini hebat.

Perubahan itu penting dilakukan kalau kita mahu melihat sekolah kita berjaya dalam semua aspek. Kalau saya takut membuat perubahan, saya seperti bonekalah di sini. Jadi ketua tetapi ketua yang tidak dapat membuat sebarang penambahbaikan. Malu juga rasanya."

"Tetapi dalam usia seperti puan, puan tidak rasa penatkah bekerja?"

"Mana ada orang bekerja tidak penat? Semua orang akan berasa penat kalau mereka bekerja. Orang yang suka duduk tanpa membuat sebarang kerja pun akan mengatakan mereka penat sebab terlalu banyak duduk. Betul tak? Kalau tak percaya cuba kamu tanya pak cik jaga tu! Beliau pun akan kata penat walhal kita lihat kerja sehariaannya cuma jaga pintu masuk sekolah." Pelajar-pelajar saya tertawa mendengar penerangan saya.

"Saya suka melihat telatah anak-anak kecil. Mereka suka bermain dan apabila mereka sudah penat bermain mereka akan tertidur. Apabila terjaga sahaja daripada tidur, mereka akan kembali bermain. Kamu tahu mengapa? Ini disebabkan bermain adalah hobi mereka!

"Macam tulah juga dengan kita. Kalau kita menjadikan tuas kita atau kerja kita sebagai satu hobi, kita tidak akan berasa penat apabila melakukannya. kalau rasa penat sekalipun, selepas berehat sebentar kita akan kembali membuat tugas kita!"

"Jadi maksud puan, semua tugas mesti dianggap sebagai hobi agar kita tidak berasa penat melakukannya?"

"Yalah, tetapi hobi yang mempunyai matlamat dan objektif yang perlu dicapai demi kecemerlangan tugas kita! Bukan hobi dalam erti kata hanya membuat tugas demi kepentingan diri, perut dan nafsu." Saya lihat masing-masing sibuk mencatatkan penerangan saya itu.

                                                                             ###                                                                                 

Kisah ini merupakan antara tulisan Puan Norbi Husin yang sangat kusukai dalam bahagian buku ini. Seingatku, ini merupakan kali kedua aku membaca buku ini. Buku yang kutemui di perpustakaan Ipg (memandangkan kehabisan bajet untuk membeli buku baru sendiri)

Kali pertama aku membacanya ialah semasa di perpustakaan papar, sebelum aku memasuki Ipg. InsyaAllah, buku ini akan dimasukkan ke dalam "list: Book to buy" kelak. 

Penggunaan bahasanya yang berbentuk penceritaan memudahkan kita memahami mesej yang ingin disampaikan. Dua elemen kepimpinan yang kukagumi dalam kisah beliau ialah nilai keberanian dan ketelitian. Beliau berani melakukan perubahan dan sentiasa berpegang pada apa yang benar walaupun keputusannya bukan majoriti. Beliau juga teliti dalam setiap aspek. Apa yang lebih penting, dari penulisannya, aku mengetahuinya kejujurannya mengungkapkan setiap apa yang boleh diteladani. 

Dalam penulisan, cabaran yang paling utama adalah "jujur" untuk menulis hakikat apa yang terjadi kerana kita tidak mengenali siapakah pembaca tulisan kita.  Persepsi yang pelbagai ini kemungkinan akan menjadi igauan bagi kita sehingga kita acapkali memilih untuk bersembunyi di sebalik madah yang indah. 

Hampa. Tatkala coretan itu dibaca, iktibar yang diharapkan tidak kunjung tiba. 

Mungkin, buku ini wajar ditatap bagi sesiapa yang ingin menjiwai dunia keguruan. Dunia yang memerlukan kita hebat serba-serbi. Pilihlah untuk mencintai kerana hanya cinta yang bisa menghidupkan kembali jiwa...

P/s: Susah nak tulis panjang-panjang setelah "berehat" lama..

No comments: