Thursday, May 16, 2013

Kerana kita dari diri yang satu..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

Ikatlah nikmat  yang diberikan Allah dengan kesyukuran

"Apa pandangan kamu tentang perubahan yang berlaku ni?" sebuah mesej kuterima.

Aku tidak membalasnya kerana tidak tahu bagaimana hendak menjelaskannya. 

Entah angin apa yang menerpa, pergolakan dalam dunia kampus membuatkan aku berfikir panjang. Aku menjadi hairan dengan beberapa perkara yang tidak kuketahui hujung pangkalnya atau bagaimana ianya bermula. Namun, apabila beberapa wajah yang dekat di hati semakin kelam dan memilih untuk menjauhkan diri daripada gerakan untuk mengislahkan Umat, aku memilih untuk membawa kita sama-sama merenungkan apa yang telah berlaku...

Di ruangan ini, izinkan aku, duhai sahabat-sahabat sekalian untuk membuka sebuah kisah yang mungkin telah menjadi sejarah dan mungkin juga sudah dilupakan. Namun, buat yang telah melaluinya, ianya merupakan kenangan yang perlu untuk kita ceritakan buat peringatan adik-adik yang akan mewarisi rantaian dakwah ini. 

Hikmah itu mungkin berbeza sebelum dan semasa kita melalui, dan pastinya berubah lagi setelah kita melaluinya. Malah, terus berubah apabila ilmu dan pengalaman yang kita perolehi kian bertambah. Namun, jangan lupa, pentafsiran kita amat bergantung pada bagaimana kita melihatnya bukan pada peristiwa yang kita lalui.

Ingatkah lagi duhai sahabat, segala kisah suka dan duka dalam memperjuangkan Islam di bumi keningau ini? Dalam keadaan yang serba kekurangan, kita bersama-sama menampung dan saling menyokong. Tidak ada istilah tugas aku-tugas aku, tugas kamu-tugas kamu. 

"Alhamdulillah, walaupun kita sibuk, tetapi Allah mempermudahkan kita. Assignment saya dapat siap walaupun masa amat suntuk" kata si A

"Alhamdulillah, mulanya banyak sangat halangan, itu tiada..ini tiada. Itu kurang, ini kurang. Tapi, dengan sokongan dan pertolongan sahabat-sahabat semua, kesemua itu kita mampu diatasi. Hasilnya, seperti yang kita dapat lihat..." kata si B

Itulah antara lontaran kata-kata semasa sesi post-mortem.

Ketika itu, hadis Rasulullah Sallahu alaih Wasalam amat dekat di hati bahawa golongan yang benar akan menjadi golongan yang asing. Ayat-ayat Allah menjadi penguat semangat.

"Alhamdulillah, walaupun kerja ni saya tidak tahu buat, tapi mungkin Allah nak ajar sesuatu...banyak perkara yang tidak sangka terjadi" kata si C

"Mungkin benda ni remeh, tapi, dari program ni lah saya banyak belajar dan terdetik untuk berubah" Kata si D

Kata-kata yang tidak mungkin akan aku lupa kerana aku mengetahui bagaimana keadaan si penutur.

Namun, dengan berlalunya masa, kita terlupa bahawa jarum syaitan itu amat licik...

Musuh kita mengetahui dimana titik kekuatan dan  kelemahan kita. Kesemua kita diuji. Tidak perlu aku nyatakan apakah bentuk ujian yang terbentang buat kita. Cukuplah Allah menjadi saksi atas segala dosa-dosa kita.

Namun, sahabat. Adakah dosa kita itu menjadi penyebab buat kita menarik diri dari medan perjuangan ini?

Jangan kerana marahkan seekor nyamuk, kelambu kita bakar...

Tidak semua air itu sama. Ada air mutlak yang suci dan menyucikan. Ada juga air mustamal, yang suci tetapi tidak menyucikan. Ada juga air yang dahulunya suci dan mneyucikan namun kemudian menjadi kotor apabila bercampur dengan air longkang. Tapi, kemudiannya, ada yang bernasib baik kerana menemui aliran sehingga ke sungai dan "dikutip" oleh mesin di loji pembersihan air. Lalu, kembalilah ianya menjadi air mutlak. Namun, ketahuilah bahawa air mutlak yang kedua ini mempunyai kisahnya.

Itulah tamsilannya kita semua.
Ada yang berhempas pulas untuk keluar dari tarikan lumpur dosa. Namun, apa yang kita berikan? Kita tolak dia ketika dia ingin menyumbang kerana tidak memahami batas-batas. Andainya itulah kekuatannya yang terakhir, adakah dia masih akan bangun? Fikirkanlah...

"Bahasa dakwah adalah bahasa kehidupan"..bagaimana kau ingin berdakwah andai kau tidak mengerti dan memahami bahasa kehidupan ini? Dakwah tidak memerlukan insan yang hebat serba-serbi tetapi cukuplah yang mengerti bahawa dakwah ini perlu diperhebatkan serba-serbi.

Berfikirlah sebelum bertindak. Bukan setakat mengenai diri kita tapi berfikirlah juga dari situasi orang lain. Dengarlah cerita kehidupan dari orang yang jauh dari Allah agar kita mensyukuri kehidupan kita yang didekatkan Allah. Sesungguhnya Allah menciptakan manusia untuk saling berkenal-kenalan...

Ayuh, sahabat. Bangkitlah!Allah tidak akan mengubah nasib kita melainkan kita sendiri yang mengubahnya...

No comments: