Saturday, May 21, 2011

kita BREAK sajalah...

Aku mengangkat kepalaku. Melihat jam yang melekat didinding. Jam 5 petang. Kuketepikan buku-buku yang perlu dibaca untuk menghadapi peperiksaan. Dalam kekalutan menghabiskan sukatan pelajaran yang perlu diulangkaji, aku mencapai sebuah buku yang tidak berkaitan dengan situasi semasaku tika ini. Otakku serta-merta menghantar impuls ke tanganku untuk bergerak balas bagi mencapai sebuah buku yang selalu kupandang sepi.
Falsafah Matematik. Agak menarik tajuknya. Iya, seringkali matematik dilihat sebagai nombor semata-mata (Termasuk diriku). Sejak bila pula matematik ni ada falsafah...?Detik hatiku. Menarik. Mataku yang kuyu kembali segar. Helaian demi helaian kuselak. Mataku terhenti pada sebaris ayat,
"Ahli-ahli matematik kini sering melupakan tema penting seperti hakikat tujuan sebenar bermatematik kerana kesibukan mereka membuat matematik, ibarat seorang yang terlalu sibuk mencari harta sehingga lupa tentang hakikat tujuan harta itu dicari.."
Akalku tiba-tiba membuat perkaitan antara bait-bait ayat ini dengan keadaan diriku sekarang. Exam. Iya, semua orang menyedari, perlunya belajar untuk lulus dengan cemerlang dalam exam. Satu persoalan yang terukir di sudut mindaku. Apakah matlamat aku belajar sekarang ini? Apakah yang aku cari? Mencari ilmu atau menikmati ilmu itu sendiri....Adakah aku terlalu sibuk mencari ilmu sampai lupa tujuan aku mencari ilmu itu sendiri...Apa pula tujuan mencari ilmu bagi seorang muslim?
Hakikat yang terpaksa kutelan untuk beberapa hari ini, aku memaksa otakku untuk menghafal teori-teori dan memahami pemikiran-pemikiran tokoh yang tidak pernah pun aku kenali. Semua ini bagi jangka masa pendek (sekarang sampai exam: iaitu lusa) memanglah ianya sangat-sangat berguna...
Tapi bagi jangka masa panjang, aku sendiri sedang dalam dilema untuk benar-benar menghayati apa yang kupelajari agar tidak sia-sia dimakan waktu. Apakah teori ini akan benar-benar akan kuaplikasikan kelak apabila menjejakkan kaki ke alam sekolah kelak. Teringat kembali pesanan ust. Misri yang seringkali diulang oleh beliau sewaktu kuliah, "Jangan berhenti belajar setakat di sini, nanti momentum itu susah nak dapat semula..."
Adakah tujuan aku belajar untuk belajar?
Dalam sehari dua ini juga, aku melihat suatu yang menjadi kelaziman. Atau dalam erti kata yang lain, aku sedar kebanyakan Teori yang dikemukan hanya kelihatan indah di atas sekeping kertas. Tanpa sebarang nilai. Mengapa aku katakan demikian? Contoh paling mudah, cuba perhatikan objektif- objektif yang digariskan. Siapakah yang benar-benar memahaminya dengan sepenuh hati. "Laras bahasa yang terlalu tinggi". Ini mungkin satu faktornya. Aku teringat akan tulisan-tulisan Abbas as-Sisi dan beberapa tokoh Islam...
Setiap satunya hidup. Ada roh. Mengapa? Sebab tujuan mereka menulis adalah jelas: membawa manusia mengenali Allah dan mengajak ke arah kebenaran. Tidak ada bunga-bunga. Terus kepada matlamat. Tidak perlu pemikiran yang mendalam, tidak perlu alat bantuan penterjemahan kerana semuanya jelas lagi mudah.
Teringat akan subjek Falsafah Pendidikan yang sudah selamat aku duduki..."Philo" dan "sophia" menjadi asal-usul bagi kata ahli falsafah...Yakni orang yang mencintai ilmu pengetahuan. Dalam hal ini, Sir Zaieddi sering menyebut, Ilmu yang paling bermakna ialah ilmu yang mengandungi kebenaran.
Adakah tujuan aku belajar benar-benar untuk mencari ilmu bagi memperolehi kebenaran? Atau hanya terhenti pada proses tanpa sampai kepada tujuan...
Agak lama aku termenung dan melihat jarum jam terus berputar...
Kebenaran. Tujuan kita hidup pula? Tiba-tiba, aku mendengar seseorang berbisik, "Bukankah yang paling benar itu sudah jelas...?" Aku memetik jari. Iya, aku lupa...Bukankah Allah telah menjelaskan kebenaran itu dalam 114 surat cinta-Nya untuk hambaNya...
Fitrah manusia itu ingin kembali ke asal. Bukankah tujuan kita diciptakan untuk beribadah? soalku lagi pada diri sendiri...
Aku akhirnya membuat kesimpulan secara deduktif berdasarkan inkuiri-penemuanku yang tidak seberapa... "Setiap apa yang bertujuan untuk mendekatkan kepada Allah S.W.T, adalah ibadah..."
"Wahai diri, janganlah kau pernah lupa akan siapa dirimu..sekali kau lupa, segalanya akan kau lupa..."Tidak ada yang mudah melainkan yang Allah permudahkan, tidak ada yang sukar melainkan apa yang kau anggap sukar... Berfikir sesaat itu lebih baik dari beribadah bertahun-tahun..

No comments: