Thursday, March 24, 2011

Luahan dari sudut hati...

Angin malam menebarkan hawa sejuk. Badanku mengigil kesejukan. Sudah dua minggu kesejukan ini kurasakan yang agak luar dari kebiasaan. Ketika membaca blog para sahabat..aku tersentuh. Catatan yang dahulunya bila kubaca, hanya biasa-biasa sahaja. Tapi kini, aku sedar...apa yang dicatatkan itu keluar dari sudut hati yang paling tulus...mereka berbicara dengan sepenuh hati...

Apabila mereka berbicara berkaitan keluarga masing-masing, perasaanku tersentuh. Aku juga merindui setiap ahli keluargaku.Wajah setiap ahli keluargaku terbayang satu persatu. Terasa begitu pantas masa berlalu. Kian lama, peluang untuk semuanya berkumpul semakin tiada. Masa yang terbatas, tapi tidak membataskan rasa rindu yang mendalam. Namun, kata-kata tidak mampu menghuraikan rasa rindu itu. Apabila memikirkan janji-janji yang tidak tertunai, tanggungjawab yang seringkali terlepas dari pandangan...semuanya mengundang perasaan kesal yang entah bila akan padam. Dari tanggungjawab sebagai seorang anak, seorang kakak, seorang adik, seorang makcik, seorang cucu, seorang cicit, sehinggalah kepada sebagai seorang jiran...Apakah aku hanya pandai berkata-kata tapi sering sahaja lupa apa yang diperkatakan? Apakah yang telah kulakukan untuk membuktikan rasa cintaku terhadap mereka...? Apakah yang boleh kutinggalkan buat mereka jika diri dipanggil dahulu? Bagaimanakah caranya untuk aku memberitahu mereka aku amat menyayangi mereka? Air mata mengalir lagi...

Di lain masa, apabila mereka berbicara berkaitan aktiviti harian mereka, aku merasa sedih kerana tanggungjawab yang menuntut perhatian seringkali merampas masaku untuk bersama-sama dengan orang-orang disekelilingku. Perancangan demi perancangan yang terpaksa dianjakkan untuk memberi keutamaan kepada yang perlu disegerakan. Aku memohon keampunan dari Allah atas kelemahan diri ini, dan memohon kemaafan dari kalian...

Saban ketika aku diburu rasa bersalah. Kadangkala, aku bingung. Dalam usaha untuk menguatkan diri sendiri, aku diterjah persoalan-persoalan yang pastinya menuntut jawapan. Sudah cukupkah aku mengambil berat orang-orang disekelilingku? Sudah cukupkah usahaku sehingga aku mampu untuk menjawab persoalan-persoalan mengenai tanggungjawab yang akan kuhadapi kelak? Bukan di dunia ini, tapi di akhirat sana. Tanggungjawab yang sering membuat para sahabat dahulunya menangis menyesali kelemahan diri tapi kini kian dipandang remeh...Amanah yang dahulunya pernah ditolak oleh gunung-ganang tapi sekarang kian menjadi rebutan...Apakah kita ini semakin kuat untuk menanggungnya atau sekadar kuat berangan-angan?

Apabila sahabat-sahabat meluahkan masalah, aku hanya mampu mendengar. Sehingga satu saat, aku terasa ingin menutup telingaku. Aku tidak ingin mendengar lagi. Bukan kerana aku tidak memahami, tapi kerana satu perasaan yang timbul di saat mendengarnya. Perasaan bersalah. Bersalah seandainya aku tidak mampu menjawab dengan sebaik-baiknya. Bersalah seandainya aku tidak mampu menolong...Aku malu, aku takut, aku lemah...Akulah kawan yang sering mementingkan diri. Adakalanya, aku tertanya-tanya, apakah aku layak untuk mendapat kalian sebagai sahabat? Terlalu banyak yang kalian beri kepadaku tapi aku tidak mampu membalasnya...

Apabila mendengar bicara di sekeliling, hatiku pedih apabila mendengar kutukan demi kutukan terhadap saudara seakidah sendiri...Ingin kujeritkan, "Adakah kita cukup baik untuk mengutuk orang lain?". Kejahatannya Allah telah balas di dunia, sedangkan kita? Aku dan kamu juga pernah dan selalu melakukan kesilapan. Namun, Allah telah menutup keaiban-keaiban itu. Apabila melihat pendedahan demi pendedahan kesalahan yang dibuat oleh media, aku terfikir. Orang lain telah dibayar secara tunai di dunia, sedangkan kita? Apalah sangat kehinaan di dunia ini kerana kita hidup didunia ini hanyalah sementara. Sedangkan di akhirat, selama-lamanya...Mampukah kita untuk berhadapan dengan pendedahan di padang mahsyar kelak? MasyaAllah...Di saat itu, di depan seluruh umat manusia dipertontonkan kesalahan masing-masing,di manakah hendak meletakkan muka kita ini?Segalanya tercatat...sehingga yang kita anggap kecil pun akan diperlihatkan...

Di dunia, kita boleh lari dari penguatkuasa...di akhirat? Hendak lari ke mana?

Ku akhiri catatan ini dengan sebuah kata-kata...

Buat setiap ahli keluargaku, buat sekalian sahabatku, buat guru-guruku, buat orang-orang di sekelilingku...aku menyayangi kalian dengan segenap hatiku...
Aku tidak mampu untuk mengungkapkannya dengan lisan, aku tidak mampu membuktikannya dengan perbuatan, tapi ketahuilah..aku amat menyayangi kalian...

No comments: