Friday, March 11, 2011

Dari sahabat buat sahabat...

(kenangan tahun lalu- Pemandangan matahari terbenam di Johor)

Di kala menghirup udara yang segar, hiruplah bersama dengan hati yang penuh kesyukuran. Rasakanlah di sudut hati kasih sayangNya. Renung sejenak. Biarpun berjuta manusia yang menghirupnya, namun ia tidak pernah berkurang, malah sentiasa mencukupi. Kajilah dari sudut mana pun, pasti kita akan bertemu dengan satu sahaja kesimpulan. Segalanya ini ada yang mengaturnya..Itulah bukti Dia yang Maha Bijaksana lagi Maha Perkasa.

Bersyukurlah kerana kita masih lagi diberi nikmat untuk menghirupnya. Tanpa udara, kita tidak akan bernafas lagi buat selamanya. Biar setinggi mana pangkat, biar sebanyak mana harta, biar seindah mana paras rupa, biar di ceruk mana kaki berpijak, kita semua tetap menghirup udara yang sama...Ucaplah Alhamdulilah...Segala puji hanya untukMu ya Allah.. Terlalu banyak nikmat yang Kau beri untuk didustakan...

Bicara hati...

Dalam kesibukan mengurus kehidupan dan menunaikan tanggungjawab yang kian hari kian mencabar, aku dihinggapi satu persoalan. Persoalan yang tidak ada jawapan. Perasaan yang semakin hari terasa semakin kosong. Terasa ada sesuatu yang hilang. Merenung ke dalam diri. Meneroka kembali sekeping hati. Sepi. Masihkah ada cinta di situ di kala bibir mengucapkan namaNya. Masih bergetarkah di saat mendengar alunan kata-kata agungNya. Teringat pesan seorang sahabat...

Sekiranya diri sudah tidak mampu lagi menangis ketika mengingatiNya, maka menangislah kerana ketidakmampuan itu.

Iya, itulah yang terjadi pada diriku. Sehingga sampai ke satu tahap, aku terfikir...jika dunia ini hanya tempat persinggahan, apakah yang aku ada sebagai bekalanku untuk meneruskan perjalanan menuju perhentian? Apakah yang aku ada semakin bertambah, atau adakah masih sama, atau sudah semakin berkurang...tanyaku pada diriku sendiri, bukankah sebaik-baik bekalan adalah takwa. Namun, apakah takwa itu? Dalam aku terkapai-kapai mencari makna sebuah hakikat, mataku terpaku pada sebaris ayat...

"ILMU itu daripada Allah. Bukan dari buku. BerTAKWAlah kepada Allah, pasti DIA akan mengajarmu. Ingatlah, Takwa itu adalah kehidupan kita, bukannya lakonan kita. Takwa bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat kerana kewujudannya sangat seni dan halus"

Agak lama. Dengan tidak semena-mena, aku teringat kembali kuliah subuh setiap hari Jumaat (Klik sini) yang disampaikan oleh Ustad Rusli.. "Bertakwa itu ialah mentaati, melakukan segala arahan/ suruhan Allah dan meninggalkan larangan Allah walaupun tanpa sesiapa yang melihat...sama ada secara bersendirian atau berhadapan dengan orang lain." Ini antara yang sempat masuk ke dalam benakku sebelum tunduk setuju (baca:tidur dalam duduk).Minta maaf, ustaz.

Oleh itu, marilah kita semua bertakwa kepada Allah dengan sebenar-benar takwa...hakikat diri kita hanya kita dan Allah yang tahu. Kita mungkin boleh menipu orang lain, tapi tidak diri kita apatah lagi Tuhan yang mengetahui segalanya...

P/s: Janganlah tunggu masa lapang baru nak ke masjid, tapi lapangkanlah masa untuk ke masjid...


No comments: