Monday, January 18, 2010

Di sini aku kenal erti kehidupan..


Biarlah salamku hilang dibawa angin. Yang pasti aku akan lepaskan segala jarah duka manjadi jiwa hamba yang merdeka. Pasakku belum terbuang walau pernah dibelenggu duka. Cuma ada puing yang roboh, meminta kisi-kisinya dibina kembali dengan kewajaran. Justeru aku akan mengambil yang wajar dalam menampung keruntuhan. Mengambil pengajaran dan azimat semampu mungkin dari bumi kinanah sebelum pulang dari berdagang. Bukankah dahulu pernah aku sebut aku anak dagang?!

Bagiku hidup adalah cerita, sepanjang perjalanannya punya harga. Pantas aku harus pungut apa yang bernilai. Biar jadi pakaian. Sama ada selepas aku pulang. Atau aku masih disini. Hidup adalah cerita yang perlu aku kutip nilai dan harganya.

Benar, ia sama sahaja. Disini, buminya masih melirih pasir kusar, debunya masih pijar dan anginnya tetap membusung rona yang berjajar. Dengan dua kaki kerdil aku tegak kepadanya, melewati bingkai maya pada hingga masa mendungas pergi.

Kini, aku sudah lewati kehidupan dari jendela kinanah selama hampir empat tahun. Bumi kinanah sentiasa gersang dan tandus. Dengan ketandusan itu aku pelajari erti kekurangan hidup. Lalu aku cuba bangkit berdiri dan memahami hakikat sebagai insan. Soal susah, soal payah, itu lumrah. Berbanding yang hidup di bumi sendiri, ia jauh lebih baik andai dibandingkan menjadi anak rantau seperti aku.

Kenapa?
Kerana merantau bererti membawa diri. Susah sakit tanggung sendiri. Menangis dan berduka, ketawa dan ceria, rasai sendiri. Andai mati sekalipun, belum pasti ada sanak saudara yang sempat menziarahi pusara. Sedih bukan?Sesedih manapun, ia tetap harus ditelan sendiri. Hingga pepatah menyebut,

“Hujan emas di negeri orang,hujan perak di negeri sendiri, Lebih baik di negeri sendiri”.

Aku pernah merintih, waktu diri rasa jauh terpisah dari keluarga. Aku pernah berduka, waktu jasad ditimpa sakit. Hatiku pernah menderita, waktu diuji oleh kesetiaan dan badai cinta kuat menderu. Siapa yang sedar bahawa aku sedang diserkup awan mendung di bawah pawana terik mentari Kaherah. Siapa yang tahu?Ketika itu,hanya aku dan tuhan sahaja.

Aku jeda dalam terpaksa. Walaupun hatiku melirih dalam kewalahan yang mendudu. Aku tetap sabar. Kerana aku sedar, sebesar manapun rona yang mencuak dan membusa, aku harus mengikisnya sendirian. Jadi, apa guna aku menjerit dan meraung jika tiada siapa yang akan membantu?Aku sabar lagi. Apa gunanya aku memerah semerih hingga terjengil anak tekak, jika di akhirnya aku tetap tercunggap-cunggap sendiri mengubati diri. Mahu atau tidak mahu, aku harus tenang dan terus tabah. Sendirian menelusuri denai-denai seorang musafir. Hingga sabar itu membuat aku tegal. Hingga tegal itu membuat aku matang. Akhirnya, matang buat aku dewasa.

Ternyata hidup merantau amat manis jika mata dan hati tidak jadi buta atau mati. Mengapa aku berkata begitu? kerana di sini, aku melihat kemiskinan dan kemelaratan. Disini, aku temui manusia yang tiada harapan dan masa depan. Di sini aku kenali apa itu gagal dan putus asa. Disini aku tersedar akan tuah dan keberuntungan yang aku miliki.

Bukankah bumi kinanah ini ada berbagai bangsa dan ragam manusia?Bukankah di sini ada berlapis darjat dan status sosial?Dengan komparatif itu,aku sebenarnya sangat bernasib baik kerana tidak dilahirkan dalam komuniti yang begitu kompleks. Aku bersyukur dan berbangga kerana dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang beragama.

Selain aku angkat dua telapak tangan melafazkan syukur. Aku juga sangat berterima kasih pada tuhan. Mujurlah Tuhan pimpin aku. Itulah yang aku mahu. Tuhan bawa aku dari daerah zulmat ke pinggir cahaya terang. Bukan itu sahaja, malah dia berikan aku kekuatan untuk bertegal dan bertekal. Hingga aku bangkit dan memberontak, memerangi mendung di jiwa. Habis-habisan aku bantah lemah dan longlai yang menyengat di sendi dan kolong arteri jasadku. Aku pugar semangat dengan ilmu serta akal. Aku tegakkan kuras yang longlai dengan petua dan sirah awwalin. Hingga aku papah hati sendiri menelusuri denai ini. Lalu aku berterima kasih, pada tuhan. Juga pada bumi yang tidak pernah bakhil memberi ibrah serta pengajaran buatku. Bumi Kinanah.

Memang wajar ia diberi nama kinanah yang bererti busur. Ianya bumi yang melahirkan panah-panah yang membidik. Ia melahirkan jiwa yang sedar dan merdeka. Insan-insan yang lahir dari bumi kinanah ini akan berjuang memerdekakan bangsa dan agama. Hingga mampu menghunus musuhnya dengan hujungnya yang runcing. Bahkan Universiti Al-Azhar itu dikatakan telaga segar yang dijadikan tempat untuk segenap bangsa bersimpuh di birainya. Meminum air suci dengan kitab kali hasil titipan ulama silam.

Dengan telaga Al-Azhar inilah, ramai pejuang kemerdekaan telah dilahirkan. Mereka yang meneguk air azimat ilmu di tebing Nil ini terdiri daripada pelbagai bangsa dari seluruh pelosok dunia. Mereka datang dengan jiwa yang kosong dan tandus. Mereka datang dari bumi yang terjajah dan punah. Lalu, mereka sucikan atma dengan telaga segar Al-Azhar dan mereka dirikan di hati serta jiwa masing-masing sebuah kemerdekaan yang hakiki. Lalu, selepas mereka pulang, mereka akan bangkit memerdekakan jiwa bangsa yang masih buta menilai kebenaran.

Aku bukanlah panah runcing yang bisa dibidik ke dada musuh. Aku bukan mesin yang bisa membunuh. Aku sekadar insan kecil yang diajar meladeni sedikit kitaran hidup rakyat Kinanah. Demi membantu aku melepaskan diri daripada kesengsaraan hidup. Dengan pemerhatian dan penaakulan yang dibantu oleh basiroh tuhan, aku teramat mujur kerana berjaya melepaskan diri daripada kelemasan. Untuk itu aku mahu terus hidup dan menyumbang sekadar termampu. Malah wajar untukku menghulur tangan bagi mereka yang memerlukan di saat hampir kelemasan.

Pun begitu, hingga saat ini aku merindui pagar-pagar yang berjujuk di Khan Khalili. Hingar bingar penjajanya lewat sore benar-benar melukis pawana klasik dalam jiwaku. Juga jejantas Abbasiah di pinggir masjid Nur. Di situ ada lautan manusia yang berpusu-pusu mengerumuni perhentian bas. Termuat di visualku situasi yang tampak gawat dan kucar-kacir, tetapi ternyata itu adalah kebiasaan yang berulang semenjak dahulu daan kini. Tiada yang janggal di mata mereka sekalipun aku masih canggung menatapnya.

Malah aku tidak dapat melupakan bumi Madinah Nasr yang menjadi tempat tidur bangunku. Di kamar sepi penghujung Jalan Abbas Zakzuq itu tercipta galur yang bergaris dalam liputan memori. Kelaring panjang yang berbagai-bagai itu mengingatkan aku terhadap permulaan, pertengahan dan penghujung sebuah perjalanan. Di kamar sepi itulah aku meluah kalam, menghurai bahasa menjadi naratif sukma. Di situlah kisah ini bermula. Tanpanya, aku tidak mampu berkongsi naratif sebegini kepada warga di seberang sana.

Jika dikira, aku tidak pernah tahu apa yang bakal berlaku kepada diriku selepas lima tahun berdendang di sini. Aku cuma sekadar bersedia menghadapi perubahan. Entah semakin baik atau semakin buruk. Entah semakin dekat atau semakin menjauh. Entah semakin bahagia atau semakin sengsara. Dahulu memang aku tidak tahu. Tetapi kini aku dapat rasai ada sesuatu yang sudah agam dalam degup jantungku. Iaitu tawakal.

Di sini aku buka hati lebar-lebar. Aku dedah jasad dan leliang sarafku kepada tuhan. Sebagai bukti bahawa aku bersedia diajar oleh Tuhan untuk mengenali hidup. Di situ aku kenal usaha dan tawakal. Daripada titik tawakal inilah aku akhirnya mampu mengusir duka dari putus asa dan perasaan kecewa. Tawakal mengajar aku beriman kepada qadak dan qadar serta yakin bahawa setiap ketentuan terkandung hikmah-Nya. Dari belenggu kecewa...aku mengerti pasrah. Dari belenggu sengsara...aku mengerti makna ujian. Akhirnya, musafirku bukan mimpi yang penuh fantasi,tapi ia adalah tafakur yang punya inti...

P/s: Inilah musafirku...

1 comment:

ShaRk said...

Indahnya bahasa....mendalam sungguh erti kata2nya....good luck in ur life