"Aku tidak mahu diberikan penglihatan. Aku cuma ingin agar Allah berikan rahmat dan perlindungan di hari kiamat kelak. Di hari yang tiada perlindungan selain dari-Nya" kata-kata anak muda itu menyebabkan penemuramahnya menangis.
Mengapa?
Anak muda itu buta. Tapi, hatinya bercahaya. Allah merahmatinya sehingga mampu menghafal 30 Juzuk al-Quran. Pastilah dia telah menikmati ketenangan dan kelazatan dalam ibadah kepada Allah sehingga tidak terliur lagi dengan tawaran berupa keduniaan. Apalah ertinya penglihatan andai menyebabkan hati kita buta. Ah! Tayangan video sempena sambutan awal muharam itu mampu menyebabkan air mata hadirin berlinangan.
Kemudian, Ust. Mohd. Rusli menyampaikan ceramahnya. Allah, tidak ada yang lebih nikmat melainkan ketenangan dalam majlis ilmu. "Hijrah kepada Fitrah". Demikian intipati yang telah disampaikan Ustaz.
"Bertambahnya umur, maka makin berkuranganlah masa yang kita ada. Sudah cukupkah bekalan yang kita ingin bawa menghadap Allah Taala kelak ? Adakah kita tidak mahu lagi bertaubat daripada dosa-dosa kita ini?!!"
Allah Maha Kuasa. Dia telah menyaksikan sekian banyak dosa yang dilakukan. Namun, masih memberi peluang kepada kita..
Bertaubatlah..kembalilah kepada fitrah...
Majlis disudahi dengan solat Isya' berjemaah yang juga diimamkan oleh Ust. Mohd Rusli bin Ismail. Mendengar bacaan surah beliau yang sudah sekian lama kurasa tidak menyapa di telingaku menyebabkan sayu di hati. Betapa beruntungnya beliau kerana memahami bahasa Arab dan merupakan hafiz al-Quran. Dan, betapa kami telah menyia-yiakan tempoh keberadaan kami di sini dengan lebih banyak "membuang" masa daripada mengisi masa dengan menuntut ilmu dengan beliau.
"Sekarang jam 9.15, insyaAllah, jam 10.15 kita sampai Tenom" kata kak Ani.
Kembara jiwa ke Tenom. Terdorong untuk meluangkan masa bersama Kakak seniorku yang kebetulan singgah di Masjid, aku menawarkan diri untuk menemaninya.
Peluang itu tidak selalu ada. Berbual mengenai pengalaman berada di tempat orang membuka mataku. Orang di sekeliling kita akan datang silih berganti, namun, andai Allah sentiasa di hati, InsyaAllah, DIA akan selalu melindungi kita..
ALLAH YANG MAHA BAIK...
Malam itu aku membiarkan segala kenangan semalam berputar kembali di ingatan untuk menjadi batu lonjatan "Tahun Baru" ini.
Iya, Tahun Baru sebagai orang Islam.
Cukup banyak sudah masa yang telah disia-siakan. Hanya pengampunan-Nya menjadi harapan. Risau apa yang akan menjadi jawapan seandainya setiap detik nafas di tanya Allah Subahana Wa Taala di Hari Pengadilan kelak.
Menghirup udara segar di rumah kakak seniorku ini adalah perkara yang menambat hatiku untuk sentiasa bersetuju bermalam di sini. Keramahan ibunya yang menyentuh hati, ditambah dengan keletah anak buahnya yang mencuit hati menyebabkan perjalanan pulangku membawa senyuman dan kenangan.
Namun, kami tidak terus pulang ke IPG. Suatu tempat menjadi perancangan kami.
"Kami main tawakal jak ni, kak.." luahku kepada kakak naqibah kami yang sekian lama menyepi. Kerinduan yang diulang-ulang membawa kami ke rumahnya.
Syukurlah, Allah izinkan.
Pertemuan itu mengubat segala-galanya...
Benar, kita tidak kuat tanpa sahabat...Apatah lagi dengan pelbagai godaan yang sentiasa ingin menjerumuskan ke lembah kebinasaan.
Satu sahaja persoalan....
"Sudahkah kita menunaikan amanah kita sebagai umat Nabi Muhammad Sallahu alaih Wasalam atau kita ingin menjadi orang biasa-biasa sahaja?" Tanyalah iman di hati...
P/S: Menjaga hati itu tidak mudah kerana yang terasa itu adalah hati...

No comments:
Post a Comment