Monday, August 26, 2013

Memberi makna pada 1434 H


"Kak en, Kak Ida, abang man, abng piding tidak balik raya tahun ni..." lapor adikku. 

Aku baru sahaja ingin berehat sebentar bagi meluruskan kaki dan pingang setelah menempuhi perjalanan berbukit bukau dari Keningau ke papar. Kemunculan adik bongsuku dari ruang belakang rumah mematikan hasratku. 

Aku sekadar melemparkan sekuntum senyuman. Tawar. Setawar hatiku.

"Takpala, kak nor, abng juan, abng shaldi kan balik juga..." aku mengosok rambutnya sebelum berangkat ke dapur. Sebentar lagi waktu asar, bermakna aku perlu segera untuk menyiapkan juadah berbuka puasa. Walaupun letih, kugagahkan juga untuk meraih sedikit kelebihan. 


Rasulullah bersabda:


"Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun daripadanya"

(Riwayat Tirmidzi dan Ibn Maja)



Pastinya hanya di rumah. Selama di IP kami tidak berkesempatan kerana kesibukan praktikum menyebabkan kami bersetuju untuk menempah makanan. Iftar jamaie (berbuka puasa beramai-ramai) tersebut berlangsung setiap hari Isnin sehingga Jumaat di bawah kelolaan syukbah 3P.

"Koti, masak sup ya.." suara adik bongsuku mematikan lamunanku.

"Ok,tapi adik tolong kupas bawang " aku segera menyahut sambil memberikan arahan.

"Alaa..." omelnya.  Namun, kulihat dia menghala ke rak bahan kering kemudian mencari tempat simpanan bawang-bawangan.

Aku tersengih melihat aksinya. Rumah agak sepi kerana adik-adikku yang lain belum balik ke kampung. Hanya yang bongsu ini sahaja tinggal menemani ayahku. 

"Koti, cuba koti teka..." mukadimahnya untuk bercerita hari-hari yang dilaluinya. Aku mendengar ceritanya sambil sibuk menyediakan segala yang perlu. Namun, sekali-sekala aku menyampuk untuk menghidupkan suasana.

Satu-satunya saat yang telah menghimpunkan kami sekeluarga adalah pada tahun lalu ketika pernikahan abangku. Namun, kehilangan itu tetap terasa. Dalam keramaian itu, aku tetap merinduinya...Insan yang pernah mengelus rambutku dan mengajarku nilai-nilai kehidupan. 

"Bapa nak minum air apa?" aku bertanya apabila melihat kelibat ayahku ke dapur.

"Buatkan bapa air nescafe. Letak gula jak. Jangan letak susu" ayahku menyahut.

Aku mengangguk sambil meneruskan kerja lain.

Pantang-larang ayahku yang banyak menyebabkan aku berhati-hati apabila menyentuh soal makan dan minumnya. Pernah suatu ketika ayahku tidak menjamah sebarang lauk. 

"Bapa tidak makan kalau kak uty masak letak aji-no-moto" bisik adikku tahun lalu ketika balik ke kampung. Aku tersentak. 

Saat itu, hatiku hiba. Kesal. Tidak peka dengan seorang insan yang banyak berjasa kepada kami adik- beradik. Aku segera bangkit dari meja dan menuju ke dapur. Ayahku menegah, namun aku berkeras. Aku tahu, ayah pasti merindui arwah ibuku. Benar, hanya arwah ibuku sahaja yang mampu membaca isi hati ayahku. Segala makan-minum ayah terjaga. 

Ah! aku juga merinduinya..



Syawal 1434H akhirnya menjelma.

Takbir yang bergema menjadi penutup tirai Ramadhan. Segalanya umpama seketika cuma. Namun, itulah hakikatnya. Ramadhan telah pergi, tapi Allah sentiasa ada. 

Tahun ini, aku secara rasmi mendapat "jawatan" sebagai pemandu dan tukang masak. Tersenyum. Dalam keterpaksaan, kita belajar erti kesabaran. Alhamdulillah.

Tahun ini, masa cuti ini kugunakan untuk merapatkan diri dengan adik-adikku. Ironinya, di sebalik "kekurangan" ahli keluarga yang lain, aku mendapat "kelebihan" masa untuk memenuhi permintaan ayah dan adik-adikku.  "Sedia berkhidmat" demikian kataku pada mereka. Berbekalkan sebuah kereta, kami memenuhi semua undangan yang ada. Kenangan yang tercipta menjadikan segala keletihanku terbayar apabila melihat senyuman ceria mereka.

"Ya Allah, peliharakanlah mereka dan cucurkanlah rahmatmu ke atas kami, keluarga kami, guru-guru kami, sahabat handai kami, saudara mara kami, jiran tetangga kami, orang-orang yang bersama kami dan umat Islam seluruhnya..."

Perjalanan ini masih panjang, andai kita melihat pada kewajipan. 

Benarlah kata seorang insan, 

"Kewajipan yang kita ada lebih banyak daripada masa yang kita ada" Imam Syahid Hassan Al-Banna.

Semoga Allah menempatkannya dalam kalangan para syuhada...

Sangat teringin menemuinya...

"Sahabat, Semoga Allah menerima amalan kita semua."

Amin.

No comments: