Saturday, January 8, 2011

Aku menyayanginya...

Dengan nama Allah yang Maha Teliti lagi Maha halus. Salam dan selawat ke atas Nabi junjungan.

“ Nikmat yang paling berharga selepas nikmat Iman dan Islam, adalah memiliki SAHABAT yang soleh. Jika kamu mendapati kewujudan kasih sayang antara kamu dengannya, maka peganglah ia bersungguh-sungguh.”
~ Saidina Umar Al-Khattab


Ketika aku berada di bangku sekolah rendah, satu perkara yang sangat popular ketika itu ialah menulis diari. Tapi, diari itu bukanlah untuk mencatatkan apa yang berlaku setiap hari tapi untuk diisi didalamnya oleh rakan-rakan yang lain. Pelbagai rekabentuk, jenama dan warna yang menepati cita rasa kanak-kanak (kami) menjadi pilihan. "Hello Kitty", "Sailormoon" dan kartun-kartun yang seangkatan dengannya adalah "trend" pada masa itu. Kebiasaannya, perkara yang ditulis adalah biodata diri dan perkara-perkara yang disukai. Namun, Satu perkara yang pada waktu itu amat menarik perhatianku adalah apabila rakan-rakanku menulis siapakah "best-friend" mereka. Ada juga yang membezakan antara sahabat, kawan baik dan kawan biasa. Beberapa kali, aku jatuh dalam golongan "kawan biasa". Ada juga yang mengatakan aku kawan baik. Tapi, aku tidak pernah menyuarakan apa-apa. Dan, memang kadangkala aku terasa sehingga apabila aku diberikan peluang untuk turut sama mencoretkan sesuatu aku lebih memilih untuk mengatakan semua orang adalah sahabatku. Aku tidak ingin orang lain terasa. Lagipun, aku suka berkawan dengan semua orang selagi mereka ingin berkawan denganku...

Ketika itu juga,sifatku yang pendiam menjadikan kawan-kawanku boleh dihitung dengan jari. Dengan itu, untuk bersama kawan-kawanku ini adalah mudah. Tapi, apabila melangkah ke alam sekolah menengah segalanya berubah. Aku semakin menemui ramai "kawan". Sehingga satu saat, aku mulai menyoal kembali ke dalam diri, siapakah kawan yang sebenarnya. Satu hakikat yang kusedari, untuk berkawan memang senang, tapi untuk tetap bersama-sama dengan semua kawan adalah mustahil.Apatah lagi jika minat yang berbeza-beza dan urusan harian menjadikan kita akan berkawan dengan ramai orang. Ketika ke perpustakaan, bersama dengan kawan lain. Ketika ke kantin, bersama kawan lain. Begitulah lumrah dalam berkawan. Tapi, berbeza dengan bersahabat. sahabat itu walau kita terpisah dengannya beribu-ribu batu, bertahun-tahun lamanya atau bagaimana kita pernah melukakan hatinya...Dia tetap tersenyum pada kita dan menerima segala perubahan-perubahan kita.Siapakah sahabat kita yang sebenarnya? Apakah ciri-ciri seorang sahabat itu? Bagaimanakah yang dikatakan bersahabat itu...

Sahabat. Hakikatnya, mereka adalah manusia biasa juga. Dan kerana hakikat itu, kita harus sedar mereka juga punyai pelbagai kelemahan dan kelebihan. Dari sini, kita akan tahu bahawa dalam bersahabat kadangkala kita akan menemui pelbagai perara yang tidak disangka-sangka. Sebelum bersahabat, segalanya indah. Jumpa sekali-sekala, muka sentiasa manis. setelah mengenalinya untuk satu tempoh yang lama, pelbagai perkara baru kita akan tahu yang orang lain tidak pernah tahu. Memang, jika kita ingin mencari sahabat yang sempurna sampai bila-bila pun kita tidak akan menemuinya. Sebab itulah, kita tidak perlu mencari sahabat yang sempurna cukuplah dengan sahabat-sahabat yang menjadikan kita sempurna apabila bersama dengannya. Sentiasalah bersabar dalam menghadapi kerenahnya kerana kita juga ada pelbagai kerenah. Sahabat itu umpama cermin diri kita. Yela, kalau bersahabat dengan penjual minyak wangi kita akan berbau harum. Sebaliknya, jika bersahabat dengan penjual ikan, berbau hanyirlah kita. Tapi, jangan silap. Adakalanya, kita tidak boleh menilai seseorang dari luarannya sahaja. "Don't judge a book by its cover, but somehow first impression still important, right?" Apa-apa pun segalanya bergantung pada sekeping hati. Jika kita baik, maka sahabat-sahabat kita pun akan baik.

Hati yang bersih akan menarik hati yang bersih.
Seorang sahabat yang baik, tidak akan memuji kita jika dia merasa dengan pujian itu membuatkan kita lupa diri. Dia juga tidak akan menjauhkan diri ketika kita dikeji. Seorang sahabat yang baik juga tidak akan mendedahkan keaiban kita walaupun perkara itu diketahuinya. Dia akan berusaha untuk menutupi kelemahan kita. Apa yang lebih istimewa, seorang sahabat itu sentiasa mendoakan kita walaupun kita tidak pernah menyedarinya. Malah, kadangkala dia juga terluka apabila kita dilukai. Sahabat yang sejati ialah yang bersahabat dengan kita bukan semata-mata kerana ilmu kita, sifat periang kita atau apa-apa sahaja nilai yang ada pada kita tapi yang bersahabat dengan kita kerana mengharapkan keredhaanNya. Apabila hati kita bersatu kerana Allah, InsyaAllah, apa pun cabaran yang menguji dalam bersahabat kita tetap akan menyayanginya...

Adakah lagi sahabat yang baik? Ada. tapi dengan syarat kita perlulah menjadi seorang sahabat yang baik dahulu. Seperti hukum dalam fizik, setiap apa yang keluar akan ada yang masuk. Begitulah juga kehidupan ini. Jika kasih-sayang yang kita sebarkan, maka kasih-sayang jugalah yang akan kita perolehi. Walau bagaimana pun orang membenci kita, tetaplah menyayangi. InsyaAllah, hati manusia itu fitrahnya suka akan kebaikan dan pasti suatu hari nanti akan menyedarinya.

Perlukah beritahu siapakah sahabat kita? ...

Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya, menambahkan ilmu agama,melihat gerak-gerinya teringat mati...


2 comments:

Anonymous said...

Kak su........................
sy sedih..................

musafir kehidupan said...

Maaflah jika kak menyinggung perasaan kamu.InsyaAllah, Kakak bersedia bila-bila masa sahaja untuk mendengar..